Monday 6 June 2011

Jelaskan peranan keluarga Barmaki dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah.

Keluarga Barmak adalah berbangsa Parsi dan berasal dari Khurasan. Perkataan ‘Barmak’ berasal daripada nama datuk mereka, iaitu penjaga rumah berhala Majusi di Balk. Khalid bin Barmak memeluk Islam selepas Qutaibah bin Muslim menakluki Khurasan pada tahun 85 Hijrah. Keluarga Barmak mengekalkan pengaruh dan kuasa mereka di Khurasan semenjak Qutaibah memimpin pasukan tentera di Khurasan.


Antara peranan yang dimainkan oleh keluarga Barmaki dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah ialah menghapuskan pengaruh puak-puak Syiah. Khalid bin Barmak telah dilantik sebagai Ketua Jabatan al-Kharaj dan Jabatan Hal Ehwal Ketenteraan oleh Khalifah al-Saffah (132-136H). Beliau merupakan orang Barmak dan berkhidmat sehingga Al-Saffah meninggal dunia. Khalid telah dilantik sebagai menteri (wazir) apabila Abu Salamah al-Khalali terbunuh kerana kecemerlangan dan kelebihannya dalam menjalankan tugas.


Khalid telah dilantik sebagai menteri ketika pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur (136-158H). Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Gabenor di Al-Ray (Tehran dan kawasan sekitarnya) kerana menteri-menteri lain berasa cemburu dan hasad dengki dengan beliau. Di samping itu, Khalid dan anaknya Yahya, juga telah berjaya mematahkan pemberontakan di Mausil, manakala anaknya dilantik sebagai gabenor di Azarbaijan.


Yahya bin Khalid telah dilantik sebagai wazir oleh Khalifah al-Mahdi (158-169H) dan menyerahkan anaknya Harun al-Rasyid untuk dipelihara. Yahya telah membesarkan Harun bersama anak-anaknya, malah ada riwayat mengatakan isteri Yahya telah menjadi ibu susuan Harun. Ketika al-Hadi (saudara Harun) ingin menyingkirkan Harun daripada jawatan Putera Mahkota, Yahya telah berperanan memberikan hak kepada Harun al-Rasyid sebagai khalifah.


Keluarga Barmaki juga telah melibatkan diri dalam pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah. Ini jelas dilihat semasa Harun al-Rasyid menjadi khalifah. Yahya bin Khalid telah dilantik sebagai Perdana Menteri dan pengurus Baitulmal. Bukan beliau sahaja, malah anak-anak beliau juga telah dilantik sebagai pegawai tinggi kerajaan kerana sifat Yahya yang bijak dan pintar. Al-Fadhl dan Jaafar (anak-anak Yahya) telah dilantik sebagai wazir selepas Yahya bersara.


Keluarga Barmaki juga memainkan peranan penting dalam pendidikan. Contohnya, Harun al-Rasyid telah dididik oleh Yahya bin Khalid semenjak kecil hingga menjadi khalifah. Yahya juga telah membangunkan Darul Hikmah.


Keluarga Barmaki juga telah mengukuhkan kewangan di Baitulmal. Khalid bin Barmak telah dilantik sebagai Ketua Jabatan al-Kharaj. Beliau telah mengukuhkan kedudukan ekonomi dan pendapatan Negara melalui pungutan cukai di daerah dan hasil kerajaan yang lain. Semasa Al-Fadhl menjadi gabenor di Khurasan, beliau telah memajukan infrastruktur Negara dengan membina masjid, rumah-rumah kebajikan dan jalan-jalan raya.


Kesimpulannya, jelaslah bahawa Keluarga Barmaki telah memainkan peranan yang penting dalam pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah. Mereka telah memainkan peranan dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, dan kewangan negara.

No comments:

Post a Comment